22.1.09

KELANA & PISAU


Saya baru membeli sebilah pisau. Secara peribadi saya tidak menganggap saya membeli pisau tetapi saya membeli ‘seni’. Nilai seni pula sifatnya begitu abstrak. Ia bergantung ‘siapa’ yang mentafsirnya. Jika hasil seni ditafsir oleh ahli atau pakar maka nilai seni akan diletak tinggi dan di tempat sepatutnya. Sebaliknya, jika orang kebanyakan menilai seni maka sudah tentu ‘seni’ itu tiada membawa apa-apa erti. Pisau ini dibuat dengan begitu teliti oleh En Kelana. Beliau mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan pisau yang saya inginkan. Besi ‘chasing bearing’ditempa, hulu dan sarung diukir secara manual. Kayu jenis Serian Batu @ Kerian Batu mempunyai urat-urat yang sungguh menarik. Hulu dan sarung adalah dari jenis kayu yang sama dan kontiniti. Koheren. Urat-urat berselirat memberi mood dan aura tersendiri kepada pisau ini. Kerajinan meneliti dan mengamati setiap selirat urat dan buku kayu akan membawa kenikmatan yang maksimum. Kemungkinan juga akan membawa kita ‘menemui‘ sesuatu. ‘Penemuan‘ ini biasanya bergantung kepada ‘siapa‘ yang menilainya. Kerak @ teras kayu yang keras ini biasanya akan memberi saingan dan menguji pengukir seperti Kelana. Hanya pakar yang mampu menanganinya. Tiada bahagian pada pisau ini yang terlepas dari sentuhan seni Kelana. Dari hal memilih besi dan kayu sehinggalah kemasan (finishing).Oleh kerana pisau ini dikategorikan sebagai hasil seni 3 dimensi, maka satu lagi kaedah menikmatinya ialah dengan cara sentuhan. Memegang, mengusap, dan menguji. Sila datang menemui saya untuk menikmati seni tempa dan ukiran pisau karya En Kelana. Jika di zaman dahulu, orang lelaki Melayu dilihat macho jika senjata diselit dipinggang. Tetapi zaman ini, mungkin masih macho jika Melayu memiliki atau menyimpan ’senjata’ walaupun terselit di dalam laci. Jika diperiksa oleh polis. Katakan ’Pisau ini ditempah khas untuk sembelihan Korban atau Aqiqah pada Hari Raya Korban nanti…..”

No comments: