29.9.09

KARYA JIWA KACAU

28.09.09, Jiwa celaru. Bila nak mula buat assignment, mood merudum. Apa taknya. Di UM ni (Jabatan Kesenian, Akademi Pengajian Melayu) Seni kena buat dalam dua bahagian, iaitu Senirupa dan Seni persembahan. kalau bab Senirupa tu ok juga. Bab seni persembahan ni aku kurang sikit. Seni rupa aku buat Graffiti, Seni persembahan kena buat pasal Sharifah Aini...alahai. nak kena bercinta dengan Sharifah Aini dulu baru boleh 'masyuk' kata orang. Memang pun, kalau kita tak minat sesuatu tu jangan paksa la... Lantas suatu pagi yang mulia, aku hadir ke benteng Sg Klang di Jalan Jelatek, dengan spray Pylox lebihan graf jam masa merdeka dulu. Aku pun melayan diri....Nah tengoklah hasilnya. Ini di siapkan dalam masa 2 jam. Walaupun begitu kau tetap akan kucintai hai Sharifah Aini, cuma beri aku sedikit masa lagi....I love U sayang !!
Orang bertanya "kenapa tak lukis di kertas atau kanvas saja" Jawapannya ialah " Susah nak jumpa kertas yang saiz besar macam ni, Kanvas kalau besar macam ni, mak oi Ribu-ribu RM nak kena keluar, mana nak kobek?.. Lagi pun hasil kerja street art bukan untuk di jual....
Street art @ Jalan Jelatek, K.Lumpur

28.9.09

SURAT DARI AIN

Surat dari Ain

Ain kirim surat
Katanya aku rindu
Kepadamu wahai abahku
Lewat 10 tahun
Wajahmu Ain
Tak terlihat dimataku
Lewat 10 tahun
Suaramu Ain
Tak terdengar ditelingaku
Surat dari Ain
Katanya senyumlah
Wahai abahku
Kerna senyumanku itu
Akan terbang melayang
Menemuimu di sana
Menemanimu di sana
Hilangkan rindu kita
Surat dari Ain anakku
Aku baca di alam mimpiku

Raduan
Shamelin Perkasa
25.9.2009

AINA

Aina

Bila besar nanti
Kamu jadi apa Aina?
Bila besar nanti
Kamu siapa Aina?
Bila besar nanti
Kamu dimana Aina?
Bila besar nanti
Kamu bagaimana Aina?
Bila besar nanti
Kamu jadilah apa sahaja
Kamu jadilah siapa sahaja
Kamu tinggallah di mana sahaja
Walau kamu bagaimana
Akukan tetap menyayangimu
Cuma jangan kau lupa
Untuk doakan aku
Abahmu di alam kubur

Raduan
27.9.09

26.9.09

TEKA TEKI

Dalam banyak-banyak jenis silat Melayu, silat apa yang paling kelakar sekali?

25.9.09

UDAH KEMPIH....

Raya kali ni rabak teman yop. Kereta meragam, dua kali masuk bengkel...beribu RM kena!. Kempih dabey yop!!....

24.9.09

LABON DI HARI RAYA

Musim raya kali ni ramai orang aku dapat jumpa. Saudara mara, rakan taulan dan sepupu sepapat.. Macam -macam perangai pula dapat dilihat. Aku tertarik dengan seorang hamba Allah ni. Bab bercakap dia. Mak oi, hebat bebeno. Cara gayanya macam tak ada orang dah yang boleh tewaskan dia bab-bab berlabon ni. Yang seronok dan peliknya, semua benda dia tahu, cakap tak mahu kalah. Dari Perdana Menteri ke ketua pemuda ke rakyat jelata. Cerita Pemimpin BN, PR semua dalam tangan dia je. Bab undang-undang dan penguatkuasaan dalam kocek belakang seluar dia je. Sejarah negara dari tahun 1511 hingga sekarang, melangkaui zaman 100 tahun dari sekarang dalam lubang hidung dia je. Segala hukum hakam agama celah kuku dia je. Wah dahsyat sekali orangnya ni. Mana yang tak berkenan dihatinya dikondem sesuka hati saja. Lanyak sampai rapat. Memang payah nak jumpa orang 'hebat' macam ni. Tapi kalau tak jumpa terus lagi bagus. Buat bernanah telinga je....Bukannya tak mahu dengar tapi tak kena dengan moodnya. Raya, orang nak bermuhibbah, nak cool, nak happy, nak enjoy. Bukak cerita buruk sianu dan sianu tu apa ke jadahnya?

13.9.09

ARCA AWAM UPSI


..bila teringat zaman susah payah jadi student dulu aku pasti akan ke tempat ini. Taman ini masih menyimpan arcaku (serta kumpulan). Tajuk: " Dalam Syahdu Aku Dakapmu Penuh Hiba". Pensyarah: En Zulkifli Yusof & En Halim Hussain

Khalel seorang Amil di Greentown Mall Ipoh


8.9.09

PERSOALAN IDENTITI DALAM KARYA GRAFFITI DI MALAYSIA


PERSOALAN IDENTITI DALAM KARYA GRAFFITI DI MALAYSIA
Raduan Norudin

Pengenalan

Graffiti bukan vandal. Graffiti ialah kegiatan menanda, tag, membuktikan, menunjukkan, mempamerkan samada individu atau kumpulan tertentu didinding, benteng, pagar dan sebagainya dengan menggunakan samada tulisan atau lukisan. Graffiti menjadi saluran individu meluahkan ekspresi. Bangga diri, penghargaan kepada sesuatu, kalimat nasihat, tidak puas hati, kecaman, saranan, politik dan ehwal semasa, bahkan graffiti dianggap oleh pengkaryanya sebagai ‘hiburan yang menjamin nikmat tidak terperi hebatnya’. Seni ekspresif merujuk kepada seni peluahan perasaan. Menurut Susan K.Langer semua karya seni menggambarkan bentuk-bentuk perasaan manusiawi. Seni ekspresif difahami sebagai seni yang mengetengahkan pengalaman emosi sebagai tema utamanya. Selain itu seni ekspresif dilihat sebagai kejayaan melahirkan rasa indah dalam karya serta menyelitkan pelbagai rasa yang lain.Graffiti merupakan percambahan sub budaya baru warga seni rupa kota Kuala Lumpur. Ia mula ketara bercambah disekitar tahun 1998 apabila sekumpulan anak muda berhijrah dari batu Pahat ke Kuala Lumpur. Sebelum mereka ke Kuala Lumpur aktiviti graffiti sudah giat berlaku di sekitar bandar Batu Pahat. Ia berkembang dengan pesat di Kuala Lumpur sekarang. Kini terdapat lebih 50 individu/kumpulan yang terlibat aktif dan menggunakan nama samaran. Diantaranya ialah They, Bee, Kay, Katun, Dwane, Bone, Jeng, Shinobi, Tha B, Medea, Kioue, KOS, BZ, Carpet, Some70, Streetsoda, VOD, Kurt, Damis, Bibi Chun, Mile09, Snozze, Foner, Pelat, VLT, Mist, Bonks, Lau, ELMS, BTX, BNE, Peng, Anokayer, 2pai, NBA, Nuke, Nenok, Keas, Acit, Rash, sekadar menyebut beberapa nama. Mereka ini selalunya berkarya dalam kumpulan seperti TLG(Thalanjang), PHB(Phobiaklik), TSS(The Super Sunday), Medium Touch, RTC(Rolling The City), dan PW (Phiberwrite), Malah ada diantara kumpulan tersebut yang mempunyai rangkaian pertalian dengan kumpulan dari luar negara. Ada dikalangan pelukis graffiti yang berkarya secara solo dan tidak langsung meninggalkan tanda nama pada karya mereka. Perang graffiti di Kuala lumpur semakin kuat bertempur sejak akhir-akhir ini. Masing-masing berebut dinding kosong terutama di sekitar Plaza Imbi, Jalan Imbi, Benteng Sg Klang, Benteng Jalan Jelatek dan sekitar Pasar Seni. Cuma yang agak mendukacitakan ialah ada dikalangan pengkarya graffiti memilih untuk melukis di atas karya orang lain. Bererti karya rakan/kumpulan pesaing dipadamkan untuk melukis graffiti baharu. Seperkara lagi ialah kualiti ’tulisan’ atau ’lukisan’ yang tidak mencapai tahap bernilai estetik. Karya sebegini menyenakkan dan mengundang rasa tidak selesa. Seharusnya mereka yang dimaksudkan itu meluangkan masa untuk mempelajari dan melatih diri dengan lebih gigih supaya karya beransur-ansur menjadi lebih baik dan bermutu.Graffiti seharusnya diiktiraf oleh masyarakat terutama pihak berkuasa terlibat seperti Dewan Bandaraya, kerana hasil seni yang mencapai tahap estetik mampu memberi nafas tersendiri kepada ruang atau dinding kosong yang lesu dan mengunadng rasa harmoni kepada penghayatnya. Adalah lebih molek jika dinding berlumut dan hitam berdaki diserahkan kepada pengkarya graffiti ini untuk mereka melahirkan karya seni. ’Bahasa’ kumpulan pelukis ini sepatutnya didengari dan dikaji. Dengan semangat kerja yang tinggi dan motivasi efektif sahaja menjadikan pelukis graffiti berjaya melahirkan sesebuah karya. Mereka menghasilkan karya seni yang indah dan menghidangkan secara percuma kepada khalayak.

Kini ramai ahli masyarakat yang telah pun terdedah dan memahami seni rupa. Ini adalah hasil daripada kurikulum pendidikan seni visual di sekolah. Bahkan ramai juga mendapat pendidikan seni diperingkat lebih tinggi iaitu dari IPTA dan IPTS dengan memegang sijil, diploma dan ijazah. Mereka ini pastinya mampu menilai dengan baik sesuatu karya seni.

Persoalan identiti dalam karya graffiti

Mencari, mengenalpasti dan membentuk identiti kebangsaan dalam karya seni merupakan satu keperluan dalam pembentukan sebuah negara yang ideal. Graffiti, Street Art dan Urban Art, juga tidak terlepas dalam pembentukan identiti kebangsaan dan serantau. Pencarian identiti kebangsaan dalam karya graffiti yang secocok dengan aspirasi masyarakat, bukanlah perkara yang sukar kerana penggiat graffiti di negara ini tidak ramai, tidak sampai pun 100 orang buat masa ini. Namun begitu usaha pencarian identiti kebangssaan ini bagi sesetengah artis graffiti dipandang remeh. Bagi merekai meneruskan gaya seni moden Barat yang dianggap lebih ‘universal’ adalah lebih meyakinkan. Manakala bagi artis lain, menggali dan mengkaji imejan lokal lalu digubah kepada seni rupa moden lebih memberi kesan dan makna. Ini berkisar tentang samada seseorang itu telah hilang identiti atau masih tidak kenal asal-usul , akar umbi diri sendiri.

Oleh kerana karya graffiti ini sifatnya dipamerkan secara terbuka di dinding-dinding bangunan dan dilihat oleh orang ramai termasuk pelancong dari luar negara, maka persoalan pencarian identiti lokal amat releven sebagai memperkenalkan jati diri nasional.

Kebangkitan kefahaman terhadap pembentukan nilai-nilai lokal dalam karya seni samada seni persembahan atau seni rupa amat ketara bermula dari tahun 80an lagi. Ini adalah urutan dari perbincangan demi perbincangan sehingga tercetus Kongres Kebudayaan Nasional pada tahun 1971. Dengan semangat ini seharusnya pengkarya atau seniman dalam semua bidang termasuk pengkarya graffiti dapat merasai perubahan tentang nilai-nilai tempatan yang perlu diangkat dan ditonjolkan ke mata dunia.

Pengkarya graffiti diharapkan tidak terlepas pandang bahawa hasil kerja seni mereka itu akan di nilai oleh audiens mengikut beberapa tahap iaitu:

Deskripsi: iaitu tahap pertama dalam kaedah apresiasi bentuk. Ia meliputi aktiviti mengenalpasti bentuk melalui pengetahuan terhadap perkara asas seperti tema, artis, bahan, tahun, saiz dan lokasi.

Interpretasi: adalah tahap kedua kaedah apresiasi bentuk. Merujuk kepada pengetahuan kondisi atau budaya sesuatu masyarakat, masa dan tempat dimana artis itu hidup dan berkarya, latar belakang dimana karya itu dilahirkan. Artis juga mungkin menyelidik tema, tajuk atau bidang yang ingin diketahui secara umumnya oleh audiens atau perkara yang memang ingin diberitahu oleh artis.

Evaluation: tahap ketiga kaedah apresiasi bentuk . Audien sendiri yang membuat keputusan samada sesebuah karya itu berjaya atau sebaliknya. Keputusan sudah tentu berdasarkan pengalaman, pengetahuan, pemikiran dan pemaknaan serta segala aspek formalistik untuk membuat penilaian yang tepat dan jelas.

Identiti lokal atau jati Diri


Apa identiti ? Identiti adalah ciri-ciri, tanda-tanda atau jati diri. Ia boleh dilihat dari rupa fizik seperti warna kulit, bentuk muka, rambut dan lain-lain. Manakala non fizik seperti cara berbicara, hasil seni, suara sifat, dan lain-lain. Soemarno Soedarsono menjelaskan, Identiti adalah tanda pengenalan. Boleh dibezakan dengan orang lain, termasuklah dalam mewujudkan penciptaan karya. Hank Johuston, pula membahagikan dua kategori identiti iaitu
I. Identiti Individu : ciri ciri seseorang secara menyeluruh .
II. Identiti Kolektif : Kelompok/bersama. Suatu interaksi individu ke individu lain dalam suatu kelompok bahkan tindakan2 bersama dalam sebuah kelompok. Ini termasuklah dalam hal pengkaryaan seni yang dibincangkan.

Mengapa pengkarya graffiti di Malaysia memerlukan identiti lokal? Ini mustahak kerana apabila pegkarya graffiti melahirkan sebuah hasil seni mereka mempunyai kekuatan yang boleh mempengaruhi audien dan karya mereka itu mampu berinteraksi. Mereka juga harus sedar posisi dan peranan apa yang dimainkan dalam struktur masyarakat serta bagaimana hubungannya dengan pembinaan budaya bangsa. Kehadiran semakin ramai kelompok pengkarya graffiti ini terpaksa diterima. Boleh jadi mereka ini mempunyai lebih dari satu identiti, maka yang demikian semakin banyak peranan yang ditanggung dan semakin kuat pula jati dirinya. Untuk mencapai sasaran tersebut diperlukan suatu paradigma yang berfungsi sebagai pedoman atau acuan dalam proses belajar dan mengajar di kalangan kelompok pengkarya graffiti ini. Wahana berinteraksi antara penguasa, pentadbir, ilmuan seni rupa dan pengkarya graffiti untuk menyatukan derap langkah bersama dalam menghadapi pelbagai cabaran. Keperibadian Nasional adalah pengalaman bersama, sejarah yang sama, penderitaan bersama, perkongsian bersama semua rakyat Malaysia. Jati diri nasional diperlukan untuk kelangsungan hidup dalam pembinaan bangsa yang utuh. Bangsa 1Malaysia adalah bangsa yang beradap, beretika, berbudaya, ramah tamah, sopan santun. Dan semua itu harus terjemahkan oleh pengkarya graffiti agar kita mampu berdiri sebagai bangsa yang memiliki tamadunnya yang tersendiri.

Rujukan:
Arnason, H.H, (et.all), 1988, History of Modern Art, London, Thames and Hudson,
David, S.N, 1994, Modern Art, Impressionism to Post-Modernism, London, Thames and Hudson Ltd.
Mohd Johari Ab. Hamid, 2004, Falsafah dan Kritikan Seni, Tanjong Malim, UPSI
Rahmah Bujang dan Nor Azlin Hamidon, 2002, Kesenian Melayu, Kuala Lumpur, UM
Tengku Sabri Ibrahim , 2009, Tanpa Tajuk, Kuala Lumpur, Tinta Publishers
Zakaria Ali, 1989, Seni dan Seniman, Kuala Lumpur, DBP

2.9.09

1 Malaysia Graffiti Jam ( Merdeka edition )



















52 artist, 273 metre, 500 cans, in 10 hours....from 2.00 pm to 12.00 am, 30.8.2009. Location: Sg Klang Riverbank/LRT Pasar Seni.