12.10.10

SEJAM BERSAMA SHAMSUL BAHARIN

Orang Ipoh yang terlibat dengan seni visual/ seni lukis kalau tak kenal Shamsul Baharin, sila pindah ke tempat lain. Cikgu-cikgu Pendidikan Seni sekitar Ipoh, kalau tak pernah dengar nama Shamsul Bahrin mohonlah tukar mengajar mata pelajaran lain seperti sains Sukan atau Geografi. Adalah menjadi kesalahan yang tak terperi jika ada insan seni (seni lukis) di merata ceruk Perak jika tidak mengetahui kewujudan Shamsul Baharin. Beliau ialah seorang pelukis tegar merangkap Pegawai di Jabatan Pelajaran Perak.
Shamsul Baharin dalam studio di Ipoh

Tadi, aku baru berjumpa ( sebenarnya terjumpa) beliau ketika dia sedang mengeteh (nyangat) di sebuah kedai kopi di Kotaraya Ipoh bandar Bugeinvilla (sekarang dah tak berapa ada pokok ni di Ipoh, agaknya bini Datuk Bandarnya tak berapa minat pokok bunga jenis ini) . Dalam pertemuan sejam itu aku dan dia bersembang pada graf 8, 9 dan 10 (maksimum) tentang perkembangan seni lukis beliau. Cuma sesekali menyelit kisah rumahtangga. Kisah rumahtangga merupakan 'iklan' dalam perbualan antara insan seni. Macam garam dalam makanan. Tak bergaram tak sedap. Sejam pertemuan itu aku dapat banyak maklumat berguna.
Persiapan untuk Ribbon of Life di Ipoh dan solo di Kuala Lumpur

Pada hujung bulan ini, Shamsul Baharin bersama pelukis DZulkarnain, Amiruddin Daud, Azizul Rabu, Mizal dan seorang pelukis dari Filipina akan mengadakan pameran berjudul Ribbon Of Life di Hospital Pantai Puteri anjuran Heritage Villa. Aku sempat di bawa oleh Shamsul ke rumahnya untuk melihat karya-karya beliau. Sungguh kaget aku apabila mendapati banyak karya yang sudah siap untuk dipamer dan dijual. Karya impasto bahantara cat minyaknya mengenengahkan bangunan lama sebagai bahan sejarah untuk dijadikan subjek matter lukisannya. Perkembangan terbaru beliau ini, melihatkan gaya sapuan pisau dan warna yang kasar dan keras adalah seiring dengan kisah perubahan dalam diri beliau dan kisah disekeliling nya yang secara langsung membawa karya beliau terjelma dalam bentuk yang demikian. Apakah kisah yang beliau alami dalam beberapa tahun kebelakangan ini? Jika anda menilai dan mengkaji seni yang ditampakkan oleh Shamsul, maka sedikit sebanyak anda akan dapat menduga kisah suka duka beliau selama beberapa tahun ini. Seolah olah ada perkara yang beliau ingin ceritakan kepada rakan-rakan lantaran tak tertahan menanggung rasa seorang diri, manakala tampalan-tampalan impasto yang tebal membuktikan ada pula beberapa perkara yang tidak harus diceritakan malah kepada rakan-rakan terdekat sekalipun. Tampalan keras yang di ulang-ulang menggambarkan ada perkara harus diluputkan terus dari ingatan. Namun mampukah Shamsul melupakan sejarah suka duka dengan tampalan impasto tebal di kanvas. Datanglah ke pameran lukisan beliau, dan cari sendiri jawapannya. Bertanyalah kepada beliau tentang gelodak dalam rasa sanubarinya. Berbuallah tentang 'hakikat' hidup. Sembanglah fasal 'istiqomah'. Berlabonlah fasal 'baiah' dan sebagainya nescaya kamu akan teruja dengan Sahamsul Baharin versi 40an.
Ini bukan sekadar cat minyak tetapi lebih dari itu. Ini ialah hidup Shamsul Baharin, dilapisan bawahnya ada sejarah, manakala dilapisan atasnya ada harapan. Kepelbagaian warna bertindan tindan adalah rencam hidup yang perlu ditempuhi dengan berhati hati.

Manakala, bulan Mei 2011 pula adalah bulan pameran solo beliau di galeri NSTP. Saat itu, lebarlah sayap Shamsul Baharin untuk menjengah Kuala Lumpur membawa impian dan harapan insan seni.
Orang hakikat pasti 'ternampak' akan hidupnya yang terkebelakang dan terkehadapan....

* Seringkali aku teringat dan mengingatkan diri aku tentang 'usia 40an ' . Fasa apakah itu ? Mahukah kamu berkongsi dengan aku apa yang kamu tahu ' fasa hidup pada usia 40an bagi lelaki?'

No comments: