10.4.11

PALITAN NOSTALGIA





Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh hanya dua jam dengan menggunakan keretapi laju. Tiket RM30 sahaja bagi perjalanan sehala. Kemudahan ini saya gunakan untuk melawat studio pelukis , Shamsul Baharin tidak lama dahulu. Shamsul 41, pelukis gigih, konsisten berkarya, mempunyai target dalam lapangan seni visual, dan taat pada kepercayaan aliran seni lukis yang dibawanya. Di studio beliau, terdapat puluhan lukisan palitan impasto bertemakan bangunan dan tempat bersejarah terutama binaan sekitar negeri Perak Darul Ridzuan. Ditanya kenapa memilih bangunan nostalgia? Jawapnya mudah, kerana ‘orang kita mudah lupa!’ Dalam mengharungi hidup semasa dan bergerak menuju kehadapan , kadangkala kita terlupa akar dan budaya klasik termasuk struktur senibina yang dimiliki. Keupayaan untuk menjaga warisan bangunan lama yang berharga dan bernilai estetik masih di tahap rendah. Bangunan tidak diselenggara dengan baik , malah ada yang mereput dimakan anai-anai atau diroboh untuk binaan bangunan baharu. Malah ada yang dibiar tinggal usang begitu sahaja sehingga menggugat deria pandang. Kata-katanya itu mengingatkan saya laporan akhbar bertarikh: 06/05/2008.


BANGUNAN USANG CACATKAN KEINDAHAN BANDARAYA IPOH, PERAK

Oleh ANGELINA SINYANG

IPOH 5 Mei - Meskipun Ipoh sudah diiktiraf sebagai bandar raya kerana mencapai tahap kemajuan setaraf dengan bandar-bandar lain di Malaysia tetapi masih terdapat banyak bangunan usang yang mencacatkan keindahan bandar yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai pusat perlombongan bijih timah. Berbeza dengan tempat lain di negara ini, Ipoh cukup unik kerana masih mengekalkan banyak bangunan lama yang didirikan oleh penjajah British.

Antara bangunan bersejarah yang menjadi mercu tanda di Ipoh ialah Stesen Keretapi Ipoh terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kerana memiliki struktur binaan yang menakjubkan dengan gabungan senibina Moor dari negara Turki dan senibina moden. Dalam pada bangga memiliki bangunan bersejarah ini, ramai warga Ipoh sebenarnya kecewa dengan pihak berkuasa tempatan kerana membiarkan banyak bangunan lama terutama deretan rumah kedai di tengah-tengah bandar raya menjadi usang hingga mencacatkan pemandangan………

Perkembangan semasa Shamsul dalam lukisan binaan bersejarah mungkin secara kebetulan sahaja keberkaitannya dengan laporan akhbar Utusan Malaysia di atas. Namun sebagai seniman Shamsul mudah menanggapi isu-isu yang menyentuh perasaannya. Ketajaman pancainderanya berjaya menghasilkan karya binaan bangunan lama yang gah, membawa penghayat ke dalam pelbagai rasa seperti sunyi, seram, takut dan hiba. Sebagai pejuang dalam arena seni lukis, beliau telah menjunjung tanggungjawab meng’indah’kan bangunan usang tersebut dengan caranya sendiri. Persembahan dikanvas bukan dibuat sewenang, tetapi melalui kajian terperinci dengan pengetahuan sejarah akan subjek yang dipilih. Beliau akan datang sendiri ke lokasi dengan melihat, memegang bahkan menghidu suasana sekitar subjek. Ini akan memberi lebih kepuasan peribadi baginya. Setelah memilih sudut pandang yang terbaik, beliau akan memulakan dengan lakaran. Malahan juga kerja-kerja memalit warna minyak dengan pisau ke atas kanvas dilakukan secara spontan jika persekitarannya mengizinkan. Kerja-kerja melukis seterusnya akan disambung di studio berpandukan gambar foto yang dirakam.

PALITAN NOSTALGIA DIRI (SHAMSUL) SENDIRI

Melihatkan gaya sapuan pisau dan warna yang kasar serta keras yang dipaktiskan oleh Shamsul akhir-akhir ini, melahirkan karya agak misteri, bangunan batu yang bisu, binaan lama yang setia, rumah yang menyeramkan dan kedai sederet yang tidak berpenghuni membuatkan saya tertanya-tanya tentu ada sesuatu yang sedang dialaminya. Dugaan saya tepat sekali apabila pelbagai rahsia dirungkaikan semasa perbualan saya dengannya tempohari. Memang benar ada kisah tertentu yang membawa perubahan ke dalam diri beliau yang secara tidak langsung membawa karya beliau terjelma dalam bentuk yang demikian. Palitan nostalgia dirinya sendiri jelas terpancar dikanvas jika kita mampu mengupas sedikit lapisan ‘tanda dan makna’ pada karyanya itu.

Apakah kisah yang beliau alami dalam beberapa tahun kebelakangan ini? Jika anda menilai dan mengkaji seni yang ditampakkan oleh Shamsul, maka sedikit sebanyak anda akan dapat menduga kisah suka duka beliau selama beberapa tahun ini. Seolah olah ada perkara yang beliau ingin ceritakan kepada rakan-rakan lantaran tidak tertahan menanggung rasa seorang diri, manakala tampalan-tampalan impasto yang tebal menutup warna dilapisan bawah membuktikan ada pula beberapa perkara yang tidak harus diceritakan malah kepada rakan-rakan terdekat sekalipun. Tampalan keras yang di ulang-ulang menggambarkan ada kisah hidup yang harus diluputkan terus dari ingatan. Namun mampukah Shamsul melupakan sejarah suka duka diri sendiri dengan tampalan impasto tebal di kanvas? Datanglah ke pameran lukisan beliau, dan cari sendiri jawapannya. Bertanyalah kepada beliau tentang gelodak dalam rasa sanubarinya. Berbuallah tentang 'hakikat' hidup. Sembanglah fasal 'istiqamah'. Bercakaplah fasal 'baiah' dan sebagainya nescaya anda akan teruja dengan Sahamsul Baharin.

Kunjungilah pameran solo beliau di galeri NSTP bermula 1 Mei 2011 hingga 30 Mei 011. Perkhidmatan keretapi laju yang saya kemukakan di awal mukadimah, bukan sahaja mengajak rakan-rakan peminat seni lukis di utara berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan pameran lukisan, bahkan memberi ruang kepada para penggemar, pelajar, kolektor seni di Kuala Lumpur untuk meninjau dan memiliki karya lukisan dari pelukis berbakat di utara khasnya di Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

No comments: