7.8.15

DUNIA SENI LUKIS RAHIMIDIN



DUNIA SENI LUKIS RAHIMIDIN

Oleh RN

Saya mulakan tulisan ini dengan istighfar dan Bismillah, manalah tahu jika ada fakta-fakta yang saya tulis adalah tidak benar dan menyinggung mana-mana pihak.
Penulisan ini mengisahkan Rahimidin dan penglibatannya dalam dunia seni lukis.
Selain daripada rakan-rakan terdekat dan pelukis yang sering berdamping dengan beliau, ramai yang belum tahu bahawa Allahyarham Rahimidin Zahari adalah seorang pengumpul lukisan yang tegar. Jika tidak,  manakan mungkin koleksi hasil lukisannya  mencecah lebih 350 buah. Antara koleksi yang dimiliki Allahyarham terdiri dari lukisan pelbagai pelukis tanah air dan luar negara. Beliau memiliki karya seniman agung Syed Ahmad Jamal, Latif Mohiden, Zulkifli Yusof, Scott Abeng, Aris Aziz, Rafie Abd Rahman,  dan ramai lagi. Ini membuat rakan-rakan kolektor  mencemburui beliau.
Semasa hayatnya, saya sering menjenguk bilik arwah di tingkat 1, bangunan pentadbiran Istana Budaya. Dibiliknya penuh dengan pelbagai karya lukisan. Ada yang digantung didinding, ada yang disandar dan yang kecil diletak diatas almari. Belum sempat saya ke rumahnya, barangkali tentu lebih banyak  karya-karya yang belum saya lihat. Arwah ada menceritakan bahawa suatu masa nanti beliau  akan bina sebuah galeri untuk mempamer, memelihara, dan berkongsi dengan khalayak kesemua lukisan yang dimilikinya. Nilaian semua koleksi karya lukisannya pada pendapat saya hampir mencecah RM1juta (anggaran saya sahaja).

‘KOLEKTOR’ SENYAP

Rahimidin, saterawan, budayawan, penyair, seniman dan penulis yang mempunyai pelbagai kemahiran , kepakaran, minat, dan mengumpul bahan seni lukis yang agak aneh apabila serius dalam mencari dan mengkaji lukisan. Tidak ada sasterawan yang kedua selepas beliau dalam mencari dan memilik bahan seni lukis. Jika ada pun mungkin secara kecil-kecilan, memliki karya sekadar hiasan dinding rumah atau pejabat sendiri. Rahimidin lain. Baginya memiliki karya lukisan bukan kerana untuk digantung didinding. Memilik karya kerana minat dan ingin berkawan dengan pelukis. Ini ‘penyakit’ biasa bagi kumpulan-kumpulan ‘kolektor’ seni lukis.
Dalam kalangan pelukis, ada yang agak rapat dengan arwah kerana sering berjual beli karya lukisan bersama arwah. Ada juga pelukis yang apabila dalam kesempitan kewangan, akan menermui arwah kerana dari sudut membantu membeli lukisan, arwah akan tolong mengikut kemampuan beliau. Kadangkala arwah menceritakan bahawa beliau sudah ‘naik menyampah’ apabila ada pelukis yang terlalu kerap berjumpanya untuk urusan jual beli.

BALAI SENI LUKIS @ BALAI SENI VISUAL

Suatu yang masih saya ingat apabila bersembang santai dengan beliau, ialah kemarahannya apabila bertukarnya jenama BALAI SENI LUKIS NEGARA  kepada BALAI SENI VISUAL NEGARA. Katanya suatu masa nanti para pelukis semakin tertinggal dan seni lukis akan terpinggir dengan sendirinya. Pelukis tersohor akan terus tersohor manakala pelukis baharu akan merasa amat sukar untuk mendekati Balai Seni Visual Negara. Ada juga benarnya apabila pada tahun 2014, BSVN menganjurkan persembahan ‘Fashion Show’ di Balai Seni Visual Negara. Ini diluar jangkaan para seniman dan penggiat seni lukis. Ramai yang marah-marah akan perkara tersebut, walaupun pihak BSVN telah mengemukakan pelbagai rasional. Termasuk arwah Rahimidin juga. Katanya ‘ini kerja gila’. Bukan disitu tempatnya untuk mengadakan ‘fashion show’.  Selaku Pengurus Panggung di Istana Budaya saya rasa memang layak beliau mengeluarkan kata yang demikian.
Walaubagaimana pun , seringkali jika ada acara perasmian pameran di BSVN, kami akan berjalan kaki bersama ke acara tersebut. Istana Budaya dan BSVN sebelah menyebelah berjiran. Minat kami sama, jadi selalu bersembang perkara yang sama iaitu hal seni lukis, dan ‘sok sek, sok sek’ yang ada di dalam dunia seni lukis tanah air.

PENULIS BAGI DUNIA SENI LUKIS

Rahimidin banyak menulis artikel berkaitan seni lukis. Antara sumbangan penulisan dalam majalah SENIKINI, blog dan juga buku. Beliau pernah menulis tentang Rafie Abd Rahman, Mansor Ghazali, Rossem, Aris Aziz dan sebagainya.

Tulisan yang belum sempat dilunaskan oleh arwah ialah penulisan buku katalog tentang pelukis  ABU BAKAR IDRIS dan juga ARIS AZIZ. Saya sempat duduk bersama untuk mendengar perbincagan tentang artikel / buku yang bakal diterbitkan. Namun semuanya tertangguh dan tinggal kenangan. Barangkali ada penulis lain yang boleh membantu dalam merialisasikan penerbitan tokoh pelukis dalam tanah air kita. Ini akan menjadikan peradaban dunia kita selari dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai wajah seninya tersendiri. Hanya dalam dunia seni dan budaya sahaja akan memperlihatkan perbedaan antara suatu negara dengan negara yang lain. Dalam dunia moden sekarang, jika kita tidak mengangkat seniman dan kesenian watan kita, maka seni budaya lain akan menguasai. Tinggallah kita jauh dibelakang . 

Sedekah Alfatihah untuk arwah Rahimidin Zahari.