15.11.15

MAZUKI MUHAMMAD

MAZUKI MUHAMMAD BINTANGNYA TENGAH BERSINAR BEGEMERLAPAN


Banyak juga pelukis cat air yang hebat datangnya dari Kelantan. Tradisi membatik orang Kelantan yang menggunakan medium cat berasaskan air, memungkinkan kemahiran tersebut turun ke media cat air atas kertas. Generasi mencanting batik atas kain usah dikira, terlalu ramai. Kerja seni membatik sudah jadi industri, melibatkan ramai ‘seniman-seniman’ yang tidak membina nama, kerana produknya (kain batik canting) untuk kegunaan awam, bukan untuk dipamer di galeri yang mana disebelah karya terdapat ‘caption’ butiran maklumat dan artis yang menghasilkannya. 

Lama sudah saya memerhati saudara Mazuki Muhammad, kini belangnya semakin ketara. Kukunya sudah tidak boleh di’bendung’ lagi. Hasil karya cat airnya semakin hari semakin memukau. Bersama-sama otai cat air Kelantan seperti Ismail kadir, Cikgu Mokhtar Ishak, Cikgu Mahmood, dia tampil dengan stailnya. Dia juga lari dari stail Ismail Mat Hussin. Mazuki membina yang ‘indah’ dalam lukisannya- tidak semesti pada objek utama. Kadangkala ‘yang indah’ itu wujud pada imej-imej sampingan. Sukar untuk bicara melalui tulisan, tetapi boleh ‘dirasa’ melalui pancaindera mata dan jiwa. 
Lukisan terbarunya ini, objek utama sudah pasti kapal yang paling kanan, namun saya melihat yang ‘indah’ itu terdapat pada sekumpulan orang yang sedang berada antara dua kapal. Dalam kumpulan itu peranan warna digunakan untuk melihatkan ‘jarak’ antara seorang dengan seorang yang lain. Begitu juga kapal-kapal yang berada disebelah kiri lukisan. Ia menguatkan antara satu sama lain untuk berhubung walaupun ‘jarak’ dipisahkan dengan warna tona lembut. Walaupun kapal sebelah kiri tidak ‘dihighligt’kan tetapi ia tetap sebuah imej yang ‘indah’. Sedap mato tengok oghe Kelate kato... Make apo la dio nih pandai sangat mnukih nih !
Catannya kali ini betul-betul membuat saya teruja. Sebelum ini saya sudah melihat banyak kali beliau melukis Pantai Sabak ini dengan bentuk kapalnya yang unik di bahagian atap. Barangkali inilah latihan-latihan yang dilaluinya untuk mempertajamkan skil, dan mendapatkan hasil yang ‘mabeles’. Tidak syak lagi, latihan demi latihan akan membuatkan hasil karya bertambah berkualiti. Suatu hari nanti saya pasti akan memiliki sebuah karya beliau. Tunggu bonus bulan depan kot ha ha ha...
Kipidap!